TAWAU, 11 Mei: Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar perlu dirapatkan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati hasil kemajuan negara secara seimbang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Program MADANI Rakyat menjadi wadah utama kerajaan dalam mendekatkan perkhidmatan dan pembangunan kepada rakyat terutama di kawasan pedalaman.
“Sementara kita ada kuasa dan saya cakap dengan rakan yang ada kuasa, buatlah sebaiknya untuk rakyat. Kita perlu ambil tahu masalah rakyat seperti elektrik, kuasa, tenaga, air, sekolah dan jalan perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program MADANI Rakyat di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, hari ini.
Anwar menjelaskan, pelbagai inisiatif teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendidikan digital, pertahanan dan infrastruktur diperluas ke kawasan luar bandar.
Pada masa sama menurutnya, kerajaan tetap memberi keutamaan kepada keperluan asas seperti bekalan elektrik, air bersih, keselamatan, pendidikan dan kesihatan.
Mengenai ekonomi semasa, Anwar berkata, ekonomi negara perlu diperkukuh agar Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran luar.
“Kita kena bina kekuatan. Tapi bagaimana kita nak bina kekuatan kalau asyik bergaduh dalam soal-soal kecil, cercaan di sini, fitnah di sana? Tak boleh kita bangunkan negara.
“Saya tak kata tak boleh kritik atau tegur, tapi biarlah teguran itu membina. Sabah ini punya potensi besar. Kalau diurus dengan baik… saya yakin Sabah akan terangkat sebagai salah satu negeri yang maju di Malaysia,” ujarnya.
Program MADANI Rakyat di Tawau turut mempamerkan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan, peluang latihan TVET, serta pameran inovasi digital dan keusahawanan.
Ia juga menyaksikan pengumuman peruntukan RM10 juta bagi menaik taraf pasar luar bandar khususnya bagi membantu peniaga kecil yang kebanyakannya wanita agar dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa dan terlindung daripada cuaca panas dan hujan. -TVS