KUCHING, 11 Mei: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kini bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Barat Daya yang melanda negeri bermula 10 Mei hingga September depan.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah mengarahkan jawatankuasa di peringkat bahagian untuk memantau dan melakukan siap siaga bagi berhadapan dengan pelbagai kemungkinan bencana yang akan berlaku.
“Mulai dari Mei (10 Mei) hingga September cuaca kemungkinan ada lebih panas dan kering. Oleh itu, kita telah mengarahkan jawatankuasa di peringkat bahagian di mana kebakaran sering berlaku untuk bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Barat Daya ini.
“Jabatan-jabatan berkenaan perlu bersiap siaga untuk menentukan apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dapat kita atasi dengan seberapa segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Majlis Makan Malam Pra Gawai 2025 di Pusat Konvensyen Penview Demak, malam tadi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia, Khairul Najib Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan, tempoh peralihan tersebut dijangka membawa pengurangan jumlah hujan yang ketara dengan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau Malaysia. – TVS