DUBAI, 11 Mei: Dua atlet badminton para, Ashley Irenaeus Jeck dan Nurzammietul Syafiqqah Mohamad Zamberi membanggakan Sarawak apabila berjaya mewakili pasukannya ke peringkat kebangsaan dalam Fazza Dubai Para Badminton International 2025 anjuran The Dubai Club for People of Determination yang kini berlangsung di Dubai sejak 9 Mei lepas hingga 11 Mei 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejayaan atlet para Sarawak ke peringkat antarabangsa adalah cerminan ketabahan, disiplin dan semangat mereka yang tidak berbelah bahagi.
“Kami amat berbangga melihat atlet para badminton kami mempunyai keazaman yang kuat dalam mewakili Malaysia di Fazza Dubai Para Badminton International 2025 ke-6.
“Kementerian kami kekal komited sepenuhnya untuk memperkasakan orang kurang upaya melalui program pembangunan inklusif, akses kepada peluang dan sokongan masyarakat yang kukuh,” katanya dalam  kenyataan hari ini.
Kata Fatimah, atlet ini bukan sahaja wira sukan, mereka adalah simbol kepada apa yang boleh dicapai apabila percaya pada keupayaan melebihi had.
“Saya percaya pencapaian mereka akan memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Sarawak, terutamanya mereka yang hidup kurang upaya untuk mengejar mimpi mereka dengan yakin, mengetahui bahawa masyarakat dan negara mereka berdiri di belakang mereka,” katanya lagi.
Kejohanan yang diiktiraf di peringkat global ini merupakan sebahagian daripada acara BWF Para Badminton International yang menghimpunkan atlet para terkemuka dari seluruh dunia dalam sambutan kecemerlangan, daya tahan dan keterangkuman dalam sukan.
Untuk rekod, ini merupakan penyertaan antarabangsa pertama mereka dan ia menandakan pencapaian penting bagi negeri ini, mempamerkan kekuatan pembangunan sukan para Sarawak.
Dalam permainan para antarabangsa ini, pasukan negara membariskan 14 atlet para badminton dengan 3 jurulatih. – TVS