KUCHING, 11 Mei: Setiap lapisan masyarakat di Sarawak perlu membuang stigma negatif terhadap penghidap HIV.
Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan Dr Ruziana Miss berkata, lazimnya penghidap penyakit tersebut sentiasa mengambil ubat untuk memastikan paras HIV dalam darah mereka terkawal.
Malah menurutnya, kemajuan perubatan sekarang membolehkan virus berkurangan atau tidak dapat dikesan disebabkan mengikut jadual pemakanan ubat ditetapkan.
“Maksudnya, virus sangat sedikit di dalam darah sehingga kajian menunjukkan ia (virus) tidak dapat dikesan melalui ujian,” katanya.
Dr Ruziana berkata demikian kepada pemberita selepas program Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Cawangan Sarawak di Teratak Kasih Tok Nan di Kuching pada Ahad.
Menurutnya, bantuan kewangan turut diberikan kepada penghidap HIV yang berdaftar di Teratak Kasih Tok Nan.
Hadir sama Penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo, Datuk Amar Jamilah Anu.-TVS