ISTANBUL, 11 Mei: Lapan maut manakala 20 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas penumpang, lori dan kereta di wilayah Canakkale, barat laut Turkiye pada Sabtu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Gabenor Canakkale, Omer Toraman berkata kepada media bahawa lori berkenaan telah terbalik dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah bas penumpang dan sebuah kereta, lapor Xinhua.
Toraman memaklumkan bahawa pemandu lori dan tujuh penumpang bas maut dalam kejadian itu manakala 20 mangsa yang cedera dengan beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital berhampiran.
Punca kemalangan masih belum dikenal pasti.
Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc berkata satu siasatan kehakiman telah dimulakan dan dua pendakwa raya telah ditugaskan untuk menyiasat kes itu.
Sementara itu, seorang maut dan 22 cedera dalam satu lagi kemalangan melibatkan dua bas di Istanbul pada Sabtu, menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan pengangkutan awam, menurut pihak berkuasa tempatan.
Menurut Pejabat Gabenor Istanbul, kejadian berlaku di daerah Beylikduzu di bahagian Eropah bandar itu kira-kira 4 petang waktu tempatan (1300 GMT).
Sebuah “metrobus” telah melanggar bahagian belakang sebuah lagi “metrobus” di hentian Haramidere, mengakibatkan pasukan perubatan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian.
Dalam satu kenyataan pejabat itu memaklumkan bahawa tiga daripada mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal. Kemalangan turut menyebabkan gangguan kepada trafik “metrobus” dan penutupan sementara stesen berkenaan.
“Metrobus” merupakan komponen penting rangkaian pengangkutan awam Istanbul, yang digunakan kira-kira satu juta penumpang setiap hari dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya itu. -TVS