KUCHING, 11 Mei: Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya 4,800 pesakit dialisis dengan purata 700 sehingga 800 orang pesakit baharu setiap tahunnya didiagnosis menghidapi kegagalan buah pinggang
Pakar Nefrologi Hospital Umum Sarawak, Doktor Clare Tan Hui Hong berkata, ketika ini Sarawak mempunyai sekitar 25 fasiliti kerajaan yang menyediakan perkhidmatan dialisis di Sarawak dengan yang terbaharu dijangka bakal dibuka pada penghujung tahun ini di Klinik Kesihatan Selangau.
“Dalam fasiliti kerajaan, kita ada hampir kira-kira 20 di seluruh Sarawak dan pusat amal, kira-kira 12 pusat tetapi terdapat juga beberapa pusat yang sedang dalam perancangan dan akan beroperasi tidak lama lagi untuk menyediakan kemudahan dialisis ini untuk pesakit.
“Tetapi bagi saya selain kemudahan fasiliti dialisis, saya fikir yang lebih penting ialah aspek pencegahan jadi, kita harus bersama-sama berusaha untuk mencegah penyakit buah pinggang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas program Sambutan ‘World Kidney Day’ 2025 di The Hills Kuching pada Ahad.
Tambahnya, apa yang diharapkan daripada pelaksanaan program sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia seperti ini adalah agar usaha tersebut dapat membawa kesedaran yang jelas kepada masyarakat agar dapat berlaku pengurangan yang ketara berbanding peningkatan jumlah pesakit ini pada masa hadapan. -TVS