SELANGAU, 10 Mei: Seorang wanita berusia 46 tahun cedera selepas kereta dinaiki berlanggar dengan lori balak di simpang Tuai Rumah Jamban, Nanga Lebai, Jalan Selangau-Sibu di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.36 malam dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan Perodua Bezza berlanggar dengan lori balak.
“Terdapat seorang mangsa wanita tersepit tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung dan menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau bagi mendapat rawatan.
“Seterusnya pasukan bomba bertindak membuat semburan bagi membersihkan sisa kemalangan dan memastikan jalan raya selamat digunakan,” ujarnya. – TVS