Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Masli Bojeng dan isteri Hanifah Salam bersama anak meraka yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir Muhammad Fayyadh Hadif di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

‘Terima kasih orang baik’, Fayyadh jalani pembedahan 23 Mei ini di China

KUCHING, 10 Mei: Akhirnya impian ibu dan bapa seorang kanak-kanak, Muhammad Fayyadh Hadif berusia 4 tahun 3 bulan yang derita menghidap penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir untuk menjalani pembedahan anak mereka direalisasikan selepas tabung yang dilancarkan sejak 21 April lalu berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM188,522.

Sebaik sahaja mengetahui jumlah kutipan yang diperlukan sebanyak RM185,000 untuk kos pembedahan mencukupi semalam, bapa Fayyadh, Masli Bojeng, 54, sujud dan bersyukur kepada Allah SWT.

“Terima kasih orang baik yang telah membantu memberi sumbangan bagi menjayakan pembedahan anak kami, hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik kalian.

“Kini fokus kami untuk terbang ke China bagi melakukan urusan pembedahan anak syurga ini secepat mungkin,” katanya kepada TVS hari ini.

Masli berkata, dia, anak dan isterinya akan berangkat ke China pada 23 Mei ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Untuk pengetahuan semua, urusan dokumentasi dan “Ethical Approval” dari kerajaan China telah pun diluluskan yang diurus sepenuhnya oleh Pertubuhan Biliary Artesia Malaysia (BAMA).

“Kami dengan rendah hati ingin memohon agar semua terus mendoakan agar Fayyadh terus kuat serta diberikan kesembuhan setelah pembedahan yang dijalankan di Hospital Renji Shanghai China kelak,” ujarnya.

Katanya, hanya pembedahan pemindahan hati kali kedua itu memberi peluang kepada anak bongsu daripada tiga adik beradik itu kembali sihat.

“Penyakit anak saya mula dikesan sewaktu umurnya dua bulan dan telah menjalani pembedahan pintasan saluran hati ke usus (Kasai) di Hospital Umum Sarawak (HUS) ketika umurnya empat bulan. Rawatan susulan seterusnya di HUS sehinggalah dirujuk ke Hospital Tunku Azizah, HKL, Kuala Lumpur untuk cadangan pemindahan hati.

“Pemindahan hati kali kedua itu perlu dilakukan segera memandangkan pemindahan hati pertama yang dilakukan sebelum ini tidak menunjukkan kejayaan sepenuhnya,” jelasnya.

Katanya, pemindahan hati pertama dilakukan menerusi organ hati yang didermakan isterinya Hanifah Salam berusia 39 tahun yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas pemindahan pertama dilakukan komplikasi saluran darah Fayyadh masih tersumbat.

“Dalam masa setahun Doktor PPUM berusaha untuk membuka saluran darah tetapi masih tidak berjaya dan menjejaskan fungsi hati yang menyebabkan hatinya beransur rosak balik.

“Untuk pembedahan kali kedua ini saya sendiri akan menjadikan penderma organ hati kepada Fayyadh,” ujarnya.-TVS

Fayyadh derita akibat kegagalan fungsi hati, bapa rayu sumbangan RM185,000

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan