JULAU, 10 Mei: Sungai Merurun di Nanga Entabai, Sarikei menawarkan pengalaman percutian hujung minggu menenangkan terutama bagi keluarga yang ingin lari daripada kesibukan kota.
Dikelilingi landskap tropika menghijau dan alunan semula jadi dari sungai yang jernih, destinasi ini menjadi pilihan terbaik untuk bersantai sambil mendekatkan diri dengan alam.
Keindahan kawasan ini boleh diakses dengan mudah melalui laluan darat dari Sarikei atau Sibu.
Perjalanan lancar memudahkan ramai keluarga membawa anak kecil untuk menikmati keindahan semula jadi tanpa perlu risau tentang kesukaran perjalanan.
Antaranya, Patrick Tidat Meringgai yang sering membawa keluarganya bercuti di kawasan berkenaan sambil menyifatkan suasana damai di situ amat sesuai untuk merehatkan fikiran selepas penat dengan tugasan harian.
“Kawasan ini sememangnya amat tenang, indah dan mendamaikan. Keindahan alam ciptaan Tuhan tersembunyi di Nanga Entabai, ” katanya ketika ditemui TVS.
Beliau berkata, air sungai yang jernih dan cetek menjadikan Sungai Merurun sangat ideal untuk aktiviti mandi manda.
Selain itu katanya, suasana alam sekitar yang bersih dan semula jadi memberikan keseronokan tambahan buat pengunjung.
“Bagi yang gemarkan aktiviti santai, Sungai Merurun turut menawarkan peluang untuk memancing dan menjala ikan.
“Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sambil berkongsi detik berharga bersama,” ujarnya.
Patrick berkata, menghabiskan masa hujung minggu di kawasan seperti itu dapat memupuk rasa cinta terhadap keindahan alam semula jadi selain membentuk kesedaran pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.
Beliau juga berkongsi sesekali berkunjung ke kawasan kampung memberi peluang kepada anak-anak untuk merasai kehidupan sederhana yang dekat dengan alam dan sesuatu yang sukar diperoleh di bandar.
Selain menikmati panorama hijau yang memukau, bunyi air yang mengalir memberikan ketenangan jiwa dan menjadikan Sungai Merurun sebagai tempat terbaik untuk detoks minda daripada tekanan hidup moden.
“Sungai Merurun sememangnya destinasi hujung minggu ideal buat orang seperti saya yang sememangnya mendambakan kedamaian sambil menikmati kehijauan alam semula jadi,” jelasnya.-TVS