KUCHING, 10 Mei: Persidangan Media Sarawak (SMEC) akan dilangsungkan pada minggu pertama bulan Julai ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Beliau menjelaskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir pada pembukaan dan Majlis Makan Malam tersebut yang dijangka berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching.
Tambah beliau lagi, dua minggu sebelumnya, wartawan seluruh Sarawak akan diraikan dengan aktiviti yang telah dirancang di tiga zon berbeza iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.
“Kita akan bekerjasama dengan semua persatuan wartawan Kuching, Sibu dan Miri untuk bekerjasama dengan UKAS mengadakan aktiviti sukan.
“Sebahagian darinya adalah memastikan warga media di seluruh Sarawak kekal bersama kerana tidak ada seorang wartawan yang terlibat dalam dunia ini dapat bekerja seorang diri dan mereka memerlukan bantuan dari rakan (media) lain dalam memastikan gambar, bahan media, maklumat sampai dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Muzik Video Muzik “Ari-Ari Gawai” KUPIKUPI Fm Sarawak di Auditorium Perkampungan Tabung Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Kuching pada Sabtu.
SMEC adalah sebahagian dari program hasil inisiatif Kerajaan Sarawak sempena Hari Kewartawan Nasiona (HAWANA) di mana Sarawak menjadi tuan rumah tahun lalu. -TVS