TAWAU, 10 Mei: Buat julung kalinya, usahawan dari Sabah dan Sarawak disatukan dalam satu platform serantau menerusi Program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Borneo yang turut menyaksikan pelancaran garis panduan baharu SDSI 2.0.
Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam satu acara yang berlangsung meriah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
“Kita biasanya anjur satu di Sabah, satu di Sarawak. Tapi kali ini, kita gabungkan supaya impaknya lebih besar. Banyak usahawan dari Sarawak juga datang menyertai showcase ini,” katanya ketika ditemui media.
Acara ini dianjurkan serentak dengan Program MADANI Rakyat peringkat Sabah, sekali gus membuka ruang kolaborasi antara usahawan pelbagai daerah dan latar industri di bawah satu bumbung.
SDSI 2.0 diperkenalkan sebagai rangka kerja baharu untuk menambah baik program sedia ada. Ia memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti tempatan serta pembangunan produk berasaskan kekuatan unik daerah masing-masing.
“Kita sudah lancarkan garis panduan SDSI 2.0. Mudah-mudahan pelaksanaannya lebih tersusun dan melibatkan komuniti dalam membangunkan industri mereka sendiri,” ujar beliau lagi.
Lebih signifikan, rekod pelaksanaan SDSI terdahulu menunjukkan kejayaan besar —
90 peratus usahawan terlibat mencatatkan peningkatan hasil jualan sekurang-kurangnya 20 peratus selepas menyertai program ini.
“Itu satu kejayaan yang memberangsangkan dan boleh kita pertingkatkan lagi di bawah SDSI 2.0,” kata Ewon.
SDSI 2.0 turut menyaksikan penglibatan agensi pelaksana seperti INSKEN serta sokongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi membantu komuniti menubuhkan koperasi sebagai platform memperkasa jenama tempatan.–TVS