KUCHING, 10 Mei: Sukan estetik gimnastik berpotensi untuk mencungkil serta menggilap bakat-bakat atlet baharu yang pastinya akan merancakkan lagi arena sukan di wilayah ini, kata Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan hari ini.
Menurutnya, penganjuran Karnival Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA) 2025 ini amat bertepatan dengan misi Kerajaan Sarawak dalam melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia dalam apa jua bidang disiplin sukan.
Malah, program-program yang diatur serta dilaksanakan semasa karnival ini berlangsung, adalah selari dengan hala tuju jangka masa panjang kerajaan negeri ini untuk memperkenal serta memperluaskan program sukan estetik gimnastik ini ke sekolah-sekolah di seluruh Sarawak, kerana beliau yakin pembentukan atlet yang berjaya perlu dimulakan di peringkat akar umbi.
“Platform yang disediakan oleh Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA), bukan sekadar medan latihan, tetapi di sinilah anda melihat serta belajar daripada rakan seperjuangan dan sebaya anda, untuk melihat serta menilai kelebihan masing-masing dan pada masa yang sama menjadi tempat latihan yang akan menyediakan anda untuk bertarung dalam arena yang lebih besar di masa mendatang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada majlis penutupan Karnival Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA) 2025 di Kuching pada Sabtu.
Untuk rekod, sukan estetik gimnastik merupakan sukan berkumpulan yang menghimpunkan antara enam hingga 10 orang dalam satu pasukan dan menariknya, sukan ini menggabungkan pelbagai variasi elemen disiplin sukan gimnastik yang diadu bersama reka tari khas bagi menceritakan kisah di sebalik pemilihan tema lagu yang dipersembahkan.
Seramai lebih 100 peserta yang terdiri daripada atlet estetik gimnastik, jurulatih serta peminat sukan ini berkumpul selama dua hari bermula 10 hingga 11 Mei ini, di Dewan Sa’ati Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), di sini, bagi menjayakan karnival yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA) dan Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA) ini.-TVS