KUALA LUMPUR, 10 Mei: Sarawak bakal menjalin kerjasama strategik dengan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dalam usaha memperkukuh dasar dan program berkaitan kesamarataan gender.
Memetik laporan Suara Sarawak, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyuarakan hasrat tersebut ketika mengetuai delegasi ke Pejabat UNFPA Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Kita melihat potensi besar untuk bekerjasama dengan UNFPA khususnya dalam isu kesihatan reproduktif, pencegahan keganasan berasaskan gender dan penghapusan amalan berbahaya seperti perkahwinan kanak-kanak,” katanya.
Semasa sesi taklimat, delegasi Sarawak diberikan penerangan oleh Wakil Negara UNFPA Malaysia, Dr. Julitta Onabanjo dan Penolong Wakil UNFPA, Tengku Aira Tengku Razif mengenai pelaksanaan program UNFPA di lebih 150 negara.-TVS