KUCHING, 10 Mei: Kejohanan Taekwondo Poomsae dan Kyorugi PTNS – SSC – MSNS 2025 mampu menjadi pentas terbaik mencari bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ini kerana kejohanan tersebut menarik penyertaan lebih 800 atlet yang mewakili 172 sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti dan pusat latihan di bawah Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF).
Menurutnya, beliau berbangga melihat usaha memantapkan atlet taekwondo Sarawak bagi melangkah lebih jauh termasuk penyertaan dalam kejohanan antarabangsa seperti Asian Cadet Junior dan Kejohanan Takwondo Para 20205 yang bakal berlangsung 24 Julai 2025 di Stadium Perpaduan Petra Jaya.
“Kita perlu menyiapkan diri untuk kejohanan ini dan acara sukan lain termasuk Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2027.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Taekwondo Poomsae dan Kyorugi PTNS – SSC – MSNS 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan sekiranya mahu melihat Sarawak menjadi kuasa dalam taekwondo.
“Kita komited untuk menggalakkan anak muda terlibat dengan taekwondo bagi meningkatkan disiplin, daya tahan dan rasa hormat dalam kalangan mereka,” ujarnya.-TVS