JULAU, 10 Mei : Selepas foto sepohon pokok betik luar biasa setinggi 14.4 meter yang tumbuh di kawasan asrama SMK Julau 2 tular di media sosial semalam, beberapa individu menunjukkan minat untuk melihat sendiri keunikannya.
Cikgu Masli yang menggelar dirinya sebagai penjaga pokok tersebut berkata, orang awam masih belum dibenarkan untuk memasuki kawasan itu memandangkan lokasi pokok terletak dalam kawasan larangan iaitu persekitaran asrama pelajar.
“Sebagai penjaga pohon betik yang menarik perhatian sekarang ini dan tengah viral, pihak kami belum dapat membenarkan orang awam untuk datang dan melihat pokok betik ini memandangkan pokok ini tumbuh dalam kawasan asrama yang menjadi kawasan larangan bagi orang awam,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, beberapa pihak luar termasuk orang awam menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pokok unik itu.
“Namun buat masa ini kami belum boleh membenarkan mana-mana pihak untuk datang. Pihak kami akan berbincang dengan pengurusan untuk meminta pendapat dan buah fikiran mereka,” ujarnya.
Sebagai maklum balas kepada minat orang ramai, Cikgu Masli turut berkongsi foto pokok betik tersebut untuk tatapan umum.
Pokok betik setinggi lebih 14.40 meter itu kini mencetuskan rasa kagum dalam kalangan netizen yang rata-rata terkejut dengan saiznya yang luar biasa berbanding pokok betik biasa yang lazimnya hanya setinggi dua hingga tiga meter sahaja.-TVS