KUCHING, 10 Mei: Perwatakan menarik dan kebijaksanaan dalam melontarkan buah fikiran menjadi ramuan penting untuk melahirkan bintang dalam industri seni kreatif serta kecantikan.
Presiden Borneo Island Big Bikers (BIBB) Sarawak yang juga Pengerusi Penganjur Pertandingan Mr dan Miss SIBG Edisi Kedua 2025, Ramlee Tuah berkata, pertandingan peragaan atau kecantikan turut menyumbang dalam melahirkan generasi baharu kreatif.
Menurutnya, pada masa sama ia merancakkan segmen ekonomi Sarawak terutama pelancongan sekali gus memperkenalkan budaya serumpun dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan peserta.
“Selain berkongsi pengalaman dan minat dalam bidang permotoran, acara ini membantu meningkatkan ekonomi termasuk memperkasa sektor pelancongan,” katanya selepas Pertandingan Mr dan Miss Sarawak International Bike Gathering (SIBG) Edisi Kedua 2025 di Kuching pada Jumaat.
Sementara itu, Hanis Mazrina,17, yang merupakan pelajar menyifatkan pengalaman merangkul mahkota kejuaraan Miss SIBG akan digunakan untuk terus mempromosi pertandingan raja dan ratu cantik.
“Pertandingan bukan sahaja mengukur paras rupa tetapi wadah untuk belia membina keyakinan diri dan mengasah kemahiran berkomunikasi,” ujarnya.
Bagi Mr SIBG 2025, penjawat awam berusia 31 tahun, Nizam Azuwan dinobatkan selaku juara.
Nizam menyifatkan pertandingan tersebut membuka ruang kepadanya untuk terus mendalami bidang kebudayaan.
“Ini merupakan platform untuk saya memperagakan budaya kepada masyarakat,” jelasnya.
Pemenang Mr dan Miss SIBG 2025 masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 beserta piala.
Pertandingan Mr dan Miss SIBG merupakan sebahagian daripada Sarawak International Bike Gathering Edisi Kedua 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Mei di Mydin Petra Jaya.-TVS