BANGI, 10 Mei: Tadbir urus aset wakaf negara perlu ditingkatkan agar ia dapat memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengurusan aset wakaf juga harus berpaksikan kepada hukum syariah.
“Jika kita uruskan ini dengan baik, ia akan memberi peluang ekonomi yang besar kepada umat Islam.
“Saya akan berbincang dengan barisan pimpinan kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dalam pengurusan aset supaya kita mempunyai dasar yang jelas dari sudut latihan dan memastikan ia sesuai dengan keperluan ekonomi baharu sekarang,” katanya yang juga Yang Dipertua PERKIM pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan ke-64 di sini, hari ini.
Berbekalkan pengalaman dalam pengurusan HIKMAH Sarawak sejak penubuhannya pada tahun 1968, Abang Johari yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua PERKIM bagi penggal 2025–2028 berkata, HIKMAH Sarawak kini mencapai kemajuan dalam pelbagai sudut termasuk pendidikan teknikal yang disifatkannya penting bagi memenuhi keperluan pakar dalam bidang ekonomi baharu.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Kuching bakal menjadi tuan rumah Kongres Wakaf Dunia yang dijadualkan berlangsung Jun. – TVS