SIBU, 10 Mei: Penolong Pegawai Perubatan (AMO) disifatkan sebagai antara tunjang utama sistem kesihatan awam Sarawak walaupun berkhidmat secara senyap di belakang tabir tanpa menuntut perhatian atau pengiktirafan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata peranan AMO amat penting sebagai tulang belakang kepada kelancaran dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di wilayah ini.
“Saya amat menghargai komitmen dan mengiktiraf pengorbanan warga AMO terutama mereka yang bertugas di sebalik tabir. Tanpa sumbangan anda, sistem kesihatan awam kita tidak mungkin berfungsi dengan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan AMOSH Gala Night Dinner 2025 yang bertemakan Colours of Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada Jumaat.
Michael Tiang turut menekankan tema tersebut mencerminkan kekuatan dalam kepelbagaian yang menggambarkan satu nilai yang turut terpancar dalam profesion AMO.
“Walaupun datang daripada pelbagai latar belakang, AMO bersatu dalam misi untuk berkhidmat, merawat dan menjaga kesihatan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut memuji inisiatif Persatuan Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sibu (AMOSH) dalam menganjurkan acara yang mampu memupuk semangat kekitaan dan memperkukuh jalinan kerjasama serta profesionalisme dalam kalangan anggotanya.
Majlis makan malam itu merupakan acara kemuncak bagi meraikan peserta AMOSH Symposium 3.0 yang datang dari seluruh negeri di Malaysia serta menghargai khidmat cemerlang AMO.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rohani Mat Bah, Pengawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun dan Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Nizam Ishak.-TVS