BINTULU, 10 Mei: Seorang lelaki patah kaki kanan selepas kereta dipandu melanggar lori kontena di lampu isyarat Simpang Kampung Jepak di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Polly Untang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 12.12 tengah malam dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza melanggar sebuah lori kontena.
“Seorang mangsa lelaki berusia 31 tahun tersepit di bahagian pemandu kereta Perodua Bezza manakala pemandu lori kontena tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak menggunakan rescue tools untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan Hospital Nyabau untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba membuat kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sehingga selesai.
“Setelah memastikan keadaan terkawal, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. – TVS