BETONG, 10 Mei: Ibu bapa perlu memberi sokongan padu kepada pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan terlibat secara aktif dalam sebarang program atau aktiviti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong berkata, ia penting untuk memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran kondusif bagi melahirkan pelajar cemerlang.
“Pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan dan ia adalah amat penting kerana tanpa pendidikan kita tidak akan ke mana-mana.
“Oleh itu, kerjasama dan sokongan padu daripada komuniti setempat dan ibu bapa amat penting dalam usaha pihak sekolah melahirkan pelajar cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Isu Bangat di Betong pada Sabtu.
Menurutnya, hubungan akrab antara pihak sekolah dengan ibu bapa dapat membantu melancarkan program atau pembangunan dirancang.
“Besarlah harapan saya kepada pihak sekolah dan PIBG SK Isu Bangat ini terus melangkah seiringan selepas ini,” ujarnya.
Sekolah Kebangsaan (SK) Isu Bangat ketika ini mempunyai 64 murid termasuk pendidikan pra sekolah.-TVS