BETONG, 10 Mei: Karnival Gawai merupakan peluang terbaik kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Betong mempromosikan produk masing-masing.
Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh berkata, ia menyediakan ruang kepada usahawan untuk mempamerkan produk yang dihasilkan sekali gus membantu dalam aspek pemasaran.
Malah menurutnya, karnival seperti itu turut membantu mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Penganjuran Karnival Gawai Bahagian Betong 2025 adalah bukti semangat gotong-royong yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.
“Dengan peningkatan mendadak penyertaan daripada usahawan PKS membuktikan aktiviti sosioekonomi masyarakat di Betong semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong 2025 di Pentas Utama Politeknik Metro Betong pada Jumaat.
Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival berlangsung termasuk pentas hiburan, Pertandingan Fesyen Kanak-Kanak, Pertandingan Ratu Dabong Dewasa dan Pertandingan Memancing.
Terdapat 40 peserta mengambil bahagian pada penganjuran edisi kali ini berbanding hanya 20 peserta pada tahun lepas.
Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong 2025 berlangsung selama sepuluh hari dari 9 hingga 18 Mei.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Majlis Perasmian Karnival Gawai Peringkat Bahagian Betong 2025, Morris Nayup dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Peringkat Bahagian Betong 2025, Rollin Jenta Gem. – TVS