KUCHING, 10 Mei: Sambutan Hari Ibu bukan sekadar memberi hadiah atau ucapan penghargaan malah merupakan platform penting memperkukuh nilai kekeluargaan dan memelihara keharmonian masyarakat.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, nilai murni yang diasuh oleh seorang ibu memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat berhemah, penyayang dan bersatu padu.
“Menerusi sambutan Hari Ibu, semangat kekeluargaan dapat disemai dan dihidupkan semula, terutama dalam era moden yang penuh cabaran sosial.
“Peranan ibu amat penting dalam membentuk sahsiah, karakter serta nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. Sejarah membuktikan bahawa di sebalik setiap pemimpin yang hebat, ada seorang ibu yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Ibu, hari ini.
Tun Wan Junaidi dalam perutusannya turut berkata, Hari Ibu merupakan masa terbaik untuk seluruh rakyat khususnya di Sarawak merenung kembali jasa dan pengorbanan ibu yang menjadi tunggak institusi keluarga serta masyarakat secara keseluruhannya.
Mengambil contoh dalam ajaran Islam, “syurga itu di bawah telapak kaki ibu”, beliau berkata, penghormatan kepada ibu bukan hanya bersifat budaya atau adat tetapi berakar kuat dalam agama serta kepercayaan.
Katanya, ketabahan dan kasih sayang seorang ibu membentuk asas kukuh kepada pembangunan insan sekali gus melahirkan individu berintegriti dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.
Dalam perutusannya juga, beliau menyeru rakyat agar tidak menjadikan Hari Ibu sebagai acara tahunan semata-mata sebaliknya sebagai satu peringatan untuk terus menghargai dan berbakti kepada ibu sepanjang hayat.
“Hadiah yang paling berharga bukanlah wang ringgit atau barangan mewah, tetapi perhatian, belaian dan senyuman yang ikhlas,” ujarnya
Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua ibu atas segala pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan. – TVS