SEREMBAN, 10 Mei: Rakyat Malaysia yang merancang untuk ke India dan Pakistan, khususnya di wilayah Kashmir, dinasihatkan untuk menangguhkan sementara perjalanan yang tidak penting susulan pergolakan di kedua-dua negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut meminta rakyat Malaysia yang berada di negara-negara berkenaan, terutama pelajar, untuk menghubungi dan mengemas kini maklumat mereka di kedutaan atau pejabat konsulat.
“Rakyat Malaysia di India dan Pakistan diminta untuk menghubungi kedutaan atau pejabat konsulat di kedua-dua negara tersebut dengan meninggalkan nombor telefon dan alamat supaya, jika ada keperluan, pihak kedutaan dapat menghubungi mereka dengan mudah.
“Rakyat yang berada di sana juga dinasihatkan untuk mengelak pergi ke daerah yang bermasalah, terutama di Kashmir.
“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang terperangkap, jadi saya minta mereka berhati-hati. Jika berada di luar kawasan yang terlibat, batalkan dahulu perjalanan ke sana agar tidak menjadi mangsa atau terjejas jika berlaku perkara-perkara tidak diingini,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Senawang 3 dan turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalida Omar.
Mohamad diminta untuk mengulas perkembangan terkini susulan ketegangan yang berlaku antara India dan Pakistan apabila media antarabangsa melaporkan bahawa pertempuran antara dua negara jiran bersenjata nuklear itu semakin memuncak.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke India susulan serangan rentas sempadan dengan Pakistan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan meminta kedua-dua negara tersebut untuk menghentikan ketegangan bagi mengelak keadaan tidak menentu dan situasi tegang berterusan.
“Malaysia risau dengan keadaan saling berbalas tembakan menggunakan dron dan roket. Ini perlu dielakkan.
“Harap pemimpin kedua-dua negara memikirkan gambaran lebih besar daripada melihat situasi yang boleh menyebabkan hubungan dua negara terjejas,” katanya.
Sementara itu, Mohamad melahirkan rasa gembira dan bangga atas pencapaian pelajar SK Senawang 3 dan yakin mereka boleh bersaing dengan sekolah lain di Negeri Sembilan yang telah mempunyai sejarah kegemilangan pelajar. – TVS