SIBU, 10 Mei: Dua rumah termasuk sebuah kenderaan terbakar di Jalan Apollo Barat di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Mohd Faizal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.06 pagi dengan menggerakkan 23 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis berkembar dua tingkat, struktur kekal telah terbakar.
“Sebuah rumah terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar 80 peratus, turut terbakar sebuah kenderaan Toyota Innova yang terbakar keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dilaporkan terdapat penyimpanan mercun di dalam salah sebuah rumah berkenaan.
“Setiap rumah didiami oleh empat orang penghuni dan jumlah keseluruhan seramai lapan orang penghuni dilaporkan selamat.
“Dengan berpandukan konsep RECEO, operasi pemadaman dilakukan dengan kaedah ofensive. Pihak bomba Sungai Merah membentang dua aliran hos 300 kaki, dua nozel dari pam jentera, sumber air dari pili bomba berhampiran manakala PKO Sibu Sentral turut membentang satu aliran hos 300 kaki, dua nozel dari pam jentera sehingga kebakaran berjaya dikawal dan padam sepenuhnya,” ujarnya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – TVS