SONG, 10 Mei: Acara Niti Daun sempena Pengarami Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Song 2025 berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai latar belakang yang menyertainya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, penglibatan bukan sahaja daripada masyarakat Iban, tetapi turut disertai oleh kaum Melayu, Cina, Bidayuh dan Orang Ulu membuktikan bahawa perpaduan kaum di daerah Song berada pada tahap yang sangat membanggakan.
“Kehadiran pelbagai kaum dalam acara ini jelas menunjukkan betapa eratnya perpaduan kita di Song. Ini adalah bukti bahawa kita hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan acara tersebut yang berlangsung di gelanggang futsal Song hari ini.
Beliau turut berharap semangat perpaduan ini akan terus dikekalkan demi keharmonian dan kemajuan daerah Song secara keseluruhan.
Lidam juga mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, khususnya pasukan NADI Song yang berjaya mempertahankan kejuaraan Niti Daun untuk tahun ketiga berturut-turut.
Sementara itu, naib johan dirangkul oleh Serakup Indu Dayak Sarawak SIDS Cawangan Song manakala tempat ketiga bersama disandang Ibu Pejabat Polis Daerah Song, Jayau Pengayau Pulai Rh.Lucas, Nanga Engkabau dan JKKK Lubok Nyimoh KM6 Jalan Takan.
Acara Niti Daun terus menjadi simbol budaya dan perpaduan masyarakat Song, serta platform terbaik untuk memupuk semangat kerjasama antara kaum di Sarawak.
Perarakan Niti Daun tersebut dimulakan dari gelanggang futsal, mengelilingi pekan Song sebelum kembali ke lokasi asal.
Acara tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Mantar Gawai Dayak Daerah Song 2025 dan sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian tahun ini, mewakili pelbagai jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan rumah panjang sekitar Song.-TVS