Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu penduduk Gaza kini berdepan kekurangan bekalan makanan. Foto fail AFP

Yayasan baharu akan terajui pengagihan bantuan di Gaza, kata AS

ByBernama

WASHINGTON, 9 Mei: Sebuah yayasan baharu dari Amerika Syarikat (AS) sedang merancang untuk menyusun semula pengagihan bantuan ke Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Yayasan itu merupakan entiti bukan kerajaan dan akan membuat pengumuman “dalam masa terdekat”, kata jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce pada Khamis tanpa mengulas lanjut.

“Apabila mereka membuat pengumuman, anda akan mendapat butiran yang diperlukan,” katanya kepada pemberita.

Sejak awal Mac, Israel telah menyekat semua penghantaran bantuan ke wilayah terkepung itu yang dihuni kira-kira dua juta penduduk Palestin.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu penduduk Gaza kini berdepan kekurangan bekalan makanan.

Dokumen setebal 14 muka surat daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang baru didaftarkan membayangkan untuk menyediakan makanan, air dan kit kebersihan kepada kira-kira 1.2 juta penduduk Palestin melalui empat pusat agihan di Gaza.

Kemudian, projek itu menyasarkan untuk membantu semua penduduk Gaza.

“Pelencongan laluan bantuan, pertempuran aktif dan sekatan akses telah menghalang bantuan menyelamatkan nyawa daripada sampai kepada mereka yang memerlukannya serta menjejaskan keyakinan penderma,” menurut dokumen GHF.

“GHF ditubuhkan untuk memulihkan talian hayat penting ini melalui model bebas dan diaudit dengan ketat, bagi memastikan bantuan disalurkan secara langsung – dan hanya – kepada mereka yang memerlukan.”

Yayasan itu bercadang untuk membekalkan pakej makanan yang mengandungi 50 hidangan kepada keluarga, selain menyalurkan bantuan daripada pertubuhan kemanusiaan lain ke Semenanjung Gaza.

Menurut cadangan itu, laluan dan pusat agihan akan dikawal oleh pengawal keselamatan swasta, manakala tentera Israel tidak akan terlibat dalam kawalan atau pengagihan bantuan.

Lembaga pengarah yayasan itu termasuk bekas Ketua Eksekutif World Central Kitchen Nate Mook, Raisa Sheynberg dari Mastercard, pengasas Current Capital Jonathan Foster dan peguam Loik Henderson. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan