BUTTERWORTH, 9 Mei: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 28 pertuduhan menipu seorang ejen pembekal pita pelekat untuk menyerahkan komisen kepadanya berjumlah RM172,985 pada tahun lalu.
Tertuduh, A. Puvanesvari, 51, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa memperdayakan seorang lelaki yang juga ejen kepada sebuah syarikat pembekal pita pelekat, dengan menyatakan kononnya terdapat projek pembekalan barangan tersebut.
Ia mendorong lelaki itu untuk menyerahkan wang komisen antara RM1,000 hingga RM19,500, membabitkan 28 transaksi yang dimasukkan ke dalam empat akaun bank berbeza yang dikawal oleh tertuduh.
Wanita tersebut, yang kini menganggur, didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 April hingga 24 Jun tahun lalu di sebuah apartmen di Jalan Bagan Jermal di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, disebat, dan didenda.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli, manakala tertuduh diwakili peguam Teh See Khoon.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM28,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 6 Jun depan. – TVS