Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Wee Hong Seng menerima cenderamata disampaikan Profesor Datuk Dr Harikrishna K. R. Nair pada majlis perasmian Persidangan Luka Antarabangsa D-Foot ke-3 2025 di Kuching, hari ini.

Sarawak perkenal laman web penjagaan luka komprehensif bagi perluas akses rawatan

ByRegina Lee

KUCHING, 9 Mei: Sarawak mengambil langkah ke hadapan dalam pendigitalan penjagaan kesihatan menerusi pengumuman pembangunan laman web penjagaan luka, sebuah platform digital menyeluruh bagi memperluas akses kepada rawatan luka khususnya kepada pesakit diabetes.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, platform itu dibangunkan sebagai pusat sehenti untuk menghubungkan rakyat kepada perkhidmatan penjagaan luka serta menyediakan sumber latihan dan pendidikan kepada petugas kesihatan.

“Laman web ini akan memudahkan rakyat Sarawak untuk mengenal pasti lokasi perkhidmatan penjagaan luka terdekat, sama ada di hospital bandar mahupun klinik luar bandar, selain menawarkan kursus dan bengkel latihan kepada petugas kesihatan.

“Ia turut menyediakan maklumat terkini berkaitan rawatan luka, laluan rujukan, inovasi perubatan serta kempen kesedaran awam berkaitan luka kronik seperti ulser kaki diabetes,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada majlis perasmian Persidangan Luka Antarabangsa D-Foot ke-3 2025 di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Penganjur Persidangan Luka Antarabangsa D-Foot Ke-3 2025, Profesor Datuk Dr Harikrishna K. R. Nair.

Menurut Dr Sim, inisiatif digital itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan negeri dalam menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit, khususnya diabetes yang kini menjejaskan hampir satu daripada lima rakyat dewasa di Malaysia.

Menurutnya lagi, Sarawak turut menyaksikan trend peningkatan yang sama dengan sebahagian besar pesakit mengalami ulser kaki diabetes, iaitu 15 hingga 20 peratus daripadanya berakhir dengan amputasi anggota bawah badan.

“Penjagaan luka tidak lagi boleh dianggap isu sampingan. Ia kini menjadi keutamaan dalam agenda kesihatan negeri kerana ia melibatkan nyawa, kualiti hidup, dan kesejahteraan keluarga,” jelas beliau.

Selain laman web, Dr Sim turut mendedahkan kerajaan negeri turut merancang penubuhan Kumpulan Sokongan Penjagaan Luka serta memperluas perkhidmatan ke kawasan pedalaman melalui teleperubatan dan program jangkauan komuniti, sejajar dengan matlamat untuk memastikan tiada rakyat Sarawak terpinggir daripada menerima rawatan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan