KUCHING, 9 Mei: Sarawak sebagai antara negeri peneraju dalam agenda tenaga boleh diperbaharui, komited memperluas kerjasama strategik, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abg Hipni.
Menurutnya, kerjasama itu membabitkan pelbagai pihak sejajar dengan matlamat untuk mempercepatkan pembangunan teknologi hijau yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Sehubungan itu, kehadirannya ke majlis pelancaran Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS, Serdang pada Khamis mencerminkan sokongan berterusan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan teknologi automotif hijau dan mobiliti mampan.
Menurut kenyataan pejabatnya, beliau hadir atas jemputan rasmi dari Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Malaysia Autoshow 2025 menampilkan pelbagai inovasi terkini dalam industri automotif, termasuk kenderaan Hidrogen FCEV, kenderaan elektrik bateri (BEV), teknologi pintar, dan penyelesaian lestari yang selari dengan agenda nasional dan negeri ke arah peralihan tenaga bersih serta ekonomi rendah karbon.
Dr Hazland turut menzahirkan penghargaan kepada MARii dan para penganjur atas penganjuran pameran berskala besar ini yang berjaya menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan pengguna akhir dalam memperkukuh ekosistem automotif negara.