Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Robert Prevost, seorang kardinal berusia 69 tahun dari Chicago telah dipilih pada Khamis sebagai paus baharu – menjadi rakyat Amerika pertama yang memegang jawatan tertinggi gereja Roman Katolik itu. Foto AFP

Robert Prevost dipilih sebagai paus baharu, pilih nama Leo XIV

ByBernama

LONDON, 9 Mei: Robert Prevost, seorang kardinal berusia 69 tahun dari Chicago telah dipilih pada Khamis sebagai paus baharu – menjadi rakyat Amerika pertama yang memegang jawatan tertinggi gereja Roman Katolik itu.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), beliau akan menggunakan nama Paus Leo XIV, menandakan kali pertama nama itu digunakan sejak abad ke-19.

Paus yang baharu dipilih itu muncul di balkoni utama Basilika St. Peter untuk menyampaikan ucapan sulungnya sebagai ketua Gereja Roman Katolik.

Pemilihan Prevost mencerminkan latar belakangnya dari Amerika dan hubungan rapatnya dengan Amerika Latin khususnya Peru, tempat beliau berkhidmat selama bertahun-tahun sebagai mubaligh sebelum dilantik menjadi uskup agung.

Beliau mempunyai dua kewarganegaraan – Amerika Syarikat dan Peru – dan dikenang atas komitmennya terhadap komuniti terpinggir serta usahanya memupuk perpaduan dalam gereja tempatan.

“Bersama-sama, kita mesti mencari jalan bagaimana menjadi sebuah gereja yang membina jambatan, mengadakan dialog dan terbuka menerima semua orang,” katanya kepada orang ramai.

Dilahirkan di Chicago pada 1955, Prevost ditahbiskan sebagai paderi pada 1982 selepas bergiat aktif sebagai pembantu altar ketika muda. Sebagai ahli Ordo Augustinian, beliau berpindah ke Peru pada usia 30 tahun untuk menjalankan misi bagi pihak ordo berkenaan.

Dedikasinya membawa kepada pelantikan sebagai Uskup Chicago oleh Paus Francis, setahun selepas Francis memegang jawatan paus.

Dengan 80 peratus kardinal dalam konklaf dilantik oleh Francis, pemilihannya dilihat sebagai kesinambungan kepada laluan reformasi yang dirintis oleh bekas paus itu.

Hubungan Leo XIV dengan Amerika Latin serta pendekatan pastoralnya dianggap meneruskan legasi Francis. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan