BANGKOK, 9 Mei: Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor sekali lagi membuktikan kehebatannya di pentas One Champinship selepas menumbangkan lawannya dari Laos, Nongbia LaoLaneXang menerusi kemenangan TKO (teknikal knockout) dalam masa hanya 47 saat pada pusingan pertama.
Dalam aksi sengit yang berlangsung di Bangkok, anak jati Sarawak berusia 22 tahun itu mempamerkan dominasi penuh sejak detik pertama pertarungan dimulakan.
Bermula 10 saat awal perlawanan, Rifdean menunjukkan tempo agresif dengan siri serangan tepat dan pantas terutamanya ke bahagian muka lawan.
Serangan bertubi-tubi itu tidak memberi ruang kepada Nongbia untuk bertahan mahupun melakukan serangan balas.
Selepas beberapa pukulan padu yang menggoyahkan pertahanan wakil Laos itu, pengadil mengambil keputusan memberhentikan pertarungan setelah jelas Nongbia tidak mampu meneruskan aksi.
Ia merupakan kemenangan ketiga Rifdean daripada empat penampilan profesional setakat ini termasuk dua kemenangan melalui TKO dan satu kemenangan knockout (KO).-TVS