JULAU, 9 Mei: Sebatang pokok betik yang tumbuh berhampiran asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No. 2 menarik perhatian ramai kerana memiliki ketinggian luar biasa.
Kisah pokok betik itu menjadi tular di media sosial selepas seorang pengguna Facebook, Cikgu Masli, memuat naik foto yang memaparkan ketinggian yang mengagumkan.
Menurut hantaran itu, pokok betik tersebut dianggarkan mencapai ketinggian 14.40 meter, menjadikannya antara pokok betik tertinggi yang pernah direkodkan di negara ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, rekod pokok betik tertinggi di dunia dipegang oleh sebatang pokok di Brazil dengan ketinggian 14.55 meter.
Pokok betik tersebut dimiliki oleh dua peladang Brazil, Tarcisio Foltz dan adiknya, Gilberto Franz, yang berjaya mencatatkan rekod itu.
Sementara itu ketika dihubungi pemilik nama penuh, Abang Masli Abang Wellie berkata, pokok berkenaan hasil tanamannya sendiri namun tidak menyangka ia setinggi itu.
“Saya sendiri menanamnya sejak 2013 dan tumbuh subur hingga ke hari ini,” katanya.
Fenomena pokok betik luar biasa ini mencetuskan rasa kagum dalam kalangan netizen yang teruja melihat kejadian alam unik itu berlaku di sekolah berkenaan. – TVS