KUCHING, 9 Mei: Pengguna kenderaan elektrik (EV) digalakkan menggunakan nombor pendaftaran khas di bawah inisiatif ePlate Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana ia memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat, khususnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sistem bateri berkuasa tinggi pada kenderaan EV memerlukan pendekatan khas dalam situasi kecemasan, justeru penggunaan ePlate membolehkan pasukan penyelamat mengenal pasti jenis kenderaan dengan lebih cepat.

“Apabila perkhidmatan kecemasan seperti bomba dapat mengenal pasti kenderaan itu adalah EV, mereka boleh bertindak lebih pantas dan selamat menggunakan teknik penyelamatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas insiden terbaharu yang tular melibatkan pemilik EV menerima notis JPJ kerana didakwa tidak mematuhi spesifikasi ePlate, Kim Shin menjelaskan bahawa notis itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berbentuk nasihat.
Menurut penjelasan JPJ Sarawak, selepas siasatan dibuat, didapati nombor pendaftaran yang digunakan sebenarnya mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dan kes tersebut telah ditutup.
Beliau menegaskan bahawa walaupun pelaksanaan ePlate masih dalam fasa sukarela dan hanya terpakai kepada kereta, inisiatif itu wajar disambut baik oleh pengguna.
“Langkah ini bukan sahaja menyokong penyeragaman dan penguatkuasaan yang lebih cekap, tetapi juga membantu dalam aspek keselamatan jalan raya dan kesiapsiagaan kecemasan,” ujarnya.
Kim Shin turut menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan Sarawak walaupun bukan agensi pelaksana, memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat dan pihak industri.
“Mobiliti hijau bukan sekadar trend global, ia merupakan komponen utama dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid Sarawak ke arah wilayah maju dan lestari,” tegasnya.