Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Tabung Haji, Datuk Nurlaila Said. Foto Faitullah Morni (TVS)

Patuhi arahan TH, jaga kesihatan di Tanah Suci

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 9 Mei: Bakal jemaah haji Sarawak diingatkan sentiasa mematuhi segala arahan ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan menjaga kesihatan diri ketika berada di Tanah Suci.

Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Tabung Haji, Datuk Nurlaila Said berkata, tahap kesihatan baik memainkan peranan penting agar ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna, apatah lagi dalam persekitaran mencabar di Tanah Suci yang dipenuhi jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

“Ikuti segala arahan Tabung Haji dan fokus sepenuhnya kepada ibadah untuk mencapai haji yang mabrur. Jemaah juga perlu menjaga kesihatan dan kebersihan diri dengan mengamalkan panduan kesihatan disarankan Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Nurlaila Said berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Keberangkatan Bakal Jemaah Haji Sarawak KT034Q di Raia Hotel, Kuching, malam ini.

Dalam pada itu Nurlaila menambah, Tabung Haji turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelbagai platform digital bagi memudahkan urusan jemaah termasuk dalam aspek penyampaian maklumat dan bimbingan ibadah secara lebih efisien.

“Saya menyarankan kepada semua bakal haji dan hajah untuk memuat turun tiga aplikasi penting iaitu THhujjaj, E-Bimbingan dan e-TAIB platform digital yang dibangunkan khusus untuk membantu jemaah mendapatkan maklumat sahih berkaitan ibadah, hukum-hakam serta pergerakan semasa di Tanah Suci,” ujarnya.

Menurutnya, meskipun Tabung Haji sering dijadikan penanda aras oleh negara-negara Islam lain dalam pengurusan haji, usaha berterusan tetap dilakukan untuk memantapkan sistem dan perkhidmatan demi kesejahteraan jemaah.

“Kerjasama erat antara Tabung Haji dan Kerajaan Arab Saudi juga menjadi kunci kepada kelancaran operasi haji negara. Malah, untuk musim haji 1446H/2025M ini, Malaysia diberi penghormatan sebagai negara pertama di dunia yang mengagihkan kad rusuk kepada jemaah haji di dalam negara,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan