KABONG, 9 Mei: Kerajaan Sarawak melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) memperuntukkan RM200,000 untuk menaik taraf kawasan letak kenderaan di Klinik Kesihatan Kabong.
Projek yang bermula pada 17 Januari lalu kini disiapkan sepenuhnya, mendahului jadual asal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, sebelum ini kawasan parkir di klinik tersebut tidak mencukupi terutamanya pada waktu puncak menyebabkan kesulitan kepada pesakit, pelawat dan petugas kesihatan.
“Projek penting ini bukan sahaja memberi manfaat kepada petugas kesihatan tetapi juga kepada pesakit dan pelawat yang berkunjung ke klinik ini.
“Secara tidak langsung, ia turut meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar seperti Kabong,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan projek siap itu di sini, hari ini.
Majlis turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Chase Miqail Kiri serta Pegawai Menguasa Klinik Kesihatan Kabong, Dr Khairah Afira Rozali.
Pada majlis sama, Mohd Chee turut menyampaikan geran projek khas Kerajaan Sarawak berjumlah RM5,000 kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Residen Bahagian Betong sebagai usaha menyokong aktiviti anjuran mereka.
“Majlis ini menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan kesihatan awam terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong, Bujang Lee, Penghulu Sani Mohd dan Penghulu Rahman @ Dom Kapok. -TVS