KUCHING, 9 Mei: Pertandingan bina badan yang menggabungkan elemen kebudayaan dikenali Mr Keling Borneo International 2025 akan dilangsungkan pada 17 Mei di di Summer Mall Kota Samarahan.
Buda Gym dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak akan menganjurkan pertanding yang julung kali diadakan itu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, ia diadakan sebagai penghormatan kepada pahlawan lagenda Iban, Keling Gerasi Nading yang terkenal dengan keberanian dan kekuatan fizikal.
“Peserta akan mengenakan ngepan dan memperagakan simetri otot mereka menyerupai Keling Gerasi Nyading untuk merebut gelaran Mr Keling Borneo International 2025.
“Sudah tentu, ini merupakan satu jenis sukan bina badan yang unik kerana ia digabungkan dengan elemen kebudayaan. Maka, begitulah cara ia digabungkan. Pada masa sama, pertandingan ini menyaksikan peserta mempamerkan otot namun mengenakan pakaian tradisional,” katanya kepada pemberita pada sidang media Mr Keling Borneo International 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, objektif pertandingan adalah untuk mempromosi kebudayaan Sarawak melalui sukan bina badan sekali gus menarik pelancong tempatan dan luar negara menyaksikan gabungan unik budaya serta sukan.
“Penganjuran sukan ini dijangka memberi banyak sumbangan kepada pelancongan Sarawak seperti peningkatan jumlah pelancongan, ekonomi tempatan, mempromosikan destinasi Sarawak melalui liputan media dan pertukaran budaya yang memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong,” ujarnya.
Mr Keling Borneo International 2025 menampilkan tujuh kategori merangkumi Men Sports Physique (170cm + 4 above), Men Sports Physique (170cm + 4 ke bawah), Men Athletic Physique (170cm + 4 ke atas), Men Athletic Physique (170cm + 4 ke bawah), Bodybuilding 70kg ke bawah, Bodybuilding 70kg-85kg dan Bodybuilding 85kg ke atas.

Majlis perasmian akan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan akan diserikan dengan kehadiran beberapa ikon sukan seperti Sapok Biki, Bonnie Bunyau, Nolan Chee, Kilat Boy, Watson Nyambek, dan bekas Jaguh Bina Badan Sarawak, Buda Anchah.-TVS