GEORGE TOWN, 9 Mei: Seorang kerani syarikat swasta berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM685,000 lesap dipercayai selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan atas talian semalam.
Mangsa yang berusia 60 tahun dikatakan mula terjerat selepas melihat satu iklan berkonsepkan jual beli saham di aplikasi Facebook pada Disember tahun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata mangsa tertarik untuk menyertai pelaburan itu apabila dijanjikan pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.
Katanya, mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp bernama Kelab Fortune Plaza.
“Mangsa diberikan penerangan di dalam kumpulan WhatsApp itu dan diminta memuat turun aplikasi bernama Q Toff untuk mendaftar dan melabur.
“Mangsa kemudian telah membuat 19 kali transaksi, memasukkan wang ke dalam empat akaun bank berbeza sebanyak RM685,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Hamzah, mangsa menyedari dia sebenarnya telah ditipu apabila mahu mengeluarkan keuntungan melalui aplikasi Q Toff sebanyak RM1.4 juta dan diminta untuk membuat pembayaran 10 peratus daripada nilai keuntungan yang diperoleh.
Katanya, mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS