KUCHING, 9 Mei: Penduduk Kota Sentosa bakal menikmati kemudahan kesihatan lebih baik susulan pelaksanaan dua projek naik taraf infrastruktur bernilai RM900,000 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap.
Memetik laporan Suara Sarawak, beliau berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk pembinaan makmal perubatan baharu di Klinik Kesihatan Kota Sentosa.
“Makmal ini dijangka akan meningkatkan keupayaan diagnostik dan mempercepatkan proses rawatan kepada pesakit di kawasan berkenaan.
“Sebanyak RM400,000 lagi digunakan bagi kerja naik taraf Hospital Psikiatri Sentosa melibatkan pembaikan tempat letak kereta serta pengubahsuaian dewan terapi pekerjaan dan dewan serbaguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau komited dalam memastikan penduduk Kota Sentosa tidak ketinggalan dalam aspek kemudahan asas kesihatan.
Lawatan kerja Wilfred Yap ke Klinik Kesihatan Kota Sentosa dan Hospital Psikiatri Sentosa hari ini adalah untuk meninjau pelaksanaan projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, JKR dan petugas barisan hadapan di kedua-dua fasiliti atas kerjasama menjayakan projek RTP tersebut.-TVS