LAHAD DATU, 9 Mei: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia Zon Lahad Datu di perairan Kampung Bakapit kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda seperti diwajibkan undang-undang.
Penahanan dilakukan semasa rondaan Ops Pluto Timur 2/2013 dan Ops Tiris 3.0 apabila bot ronda mengesan sebuah bot lampu berwarna putih dan hijau yang mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap sebarang ketidakpatuhan kerana ia melibatkan aspek keselamatan navigasi serta kawalan terhadap aktiviti perikanan tempatan.
“Mana-mana pertukaran nakhoda wajib dimaklumkan untuk memastikan lesen dan kelayakan individu yang mengemudi bot adalah sah dan diiktiraf,” katanya.
Bot terbabit diiringi ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk siasatan lanjut dengan nilai tangkapan dianggarkan mencecah RM300,000.
Kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan Bot Kecil Sabah 2008). -TVS