KUCHING, 9 Mei: Seramai 25 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di dua tapak pembinaan sekitar bandar raya ini awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan Pasukan Tindakan Khas (PTK) bermula jam 1 pagi.
“Operasi ini diketuai oleh Unit PTK berganding sama dengan Unit Operasi melibatkan seramai 51 orang anggota.
“Risikan awal mendapati kawasan tersebut menjadi lokasi tumpuan warga asing yang disyaki bekerja secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan dijalankan, seramai 46 individu diperiksa yang terdiri daripada 39 lelaki dan tujuh wanita warganegara asing.
“Daripada jumlah itu, 25 individu ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita dan kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta penyalahgunaan pas lawatan sosial,” ujarnya.
Katanya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.-TVS