KANOWIT, 8 Mei: Seorang lelaki warga emas cedera manakala dua lagi selamat selepas pikap dinaiki kemalangan kendiri di Jalan Kanowit Durin di sini, hari ini.
Komander Operasi, Badrul Hisham Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.59 petang dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatkan tiga orang mangsa dan didapati seorang mangsa lelaki warga emas berusia 64 tahun dalam keadaan sedar dan cuma mengalami kecederaan di kaki berada di dalam kenderaan tersebut.
“Dua lagi mangsa lelaki berusia 49 dan 63 tahun sudah keluar sendiri daripada kenderaan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dengan menggunakan kaedah SAVER, pihak bomba menstabilkan kenderaan terlebih dahulu sebelum melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa ke tempat selamat.
“Memandangkan mangsa tidak tersepit pihak bomba tiada menggunakan peralatan RTA.
“Setelah mangsa berjaya dibawa keluar, pihak bomba menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans Hospital Kanowit untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – TVS