SIBU, 8 Mei: Dalam usaha memperkasa komuniti Pekak dan mempromosikan inklusiviti, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Kebangsaan (DAWN) akan menganjurkan Sidang Kemuncak Orang Pekak Malaysia 2025 buat julung kali pada 26 hingga 28 September ini di Hotel Kingwood di sini.
Sidang kemuncak bertemakan “Masa Depan Inklusif: Memperkasa Akses dan Kesaksamaan untuk Komuniti Pekak” itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Perkhidmatan Komuniti Pekak Sarawak (SDCSA), dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan badan berkaitan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran itu merupakan satu titik penting dalam sejarah perjuangan komuniti Pekak negara ini.
“Komuniti orang pekak telah menunjukkan daya tahan luar biasa sejak penubuhan Sekolah Persekutuan untuk Orang Pekak pada 1954, namun masih berdepan pelbagai kekangan untuk penyertaan penuh dalam masyarakat.
“Isu utama termasuk kekurangan perkhidmatan jurubahasa isyarat dalam sektor kesihatan, pendidikan dan perundangan serta kesukaran mengakses maklumat penting akibat cabaran literasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, dasar berkaitan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) perlu memberi fokus kepada aksesibiliti, peruntukan dana kepada inisiatif komuniti serta keterwakilan dalam proses membuat keputusan.
Katanya, kerajaan negeri menerusi inisiatif SEDIDIK kini turut memperkenalkan pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia dalam kalangan kanak-kanak sebagai usaha awal membina kesedaran inklusif.
Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 14,675 individu OKU menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), dengan 3,445 daripadanya kini bekerja dalam pelbagai sektor.
Sidang kemuncak itu dijangka menghimpunkan antara 300 hingga 400 peserta termasuk pendidik, penyelidik, pembuat dasar, pelajar, aktivis serta komuniti Pekak dari dalam dan luar negara.
Antara tajuk pembentangan menarik termasuk “Penyelesaian Penciptaan Pekerjaan untuk Orang Pekak”, “Hak Bahasa Isyarat dan Pengukuhan Komuniti Pekak di Indonesia”, dan “Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat di Thailand: Peranan, Cabaran dan Laluan Pembangunan”.
Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak), Amelia Roziman berkata, pihaknya komited menyokong acara berimpak tinggi seperti ini yang memperkasakan suara komuniti marginal.
Presiden SDCSA, Albert Wong Tuong Chui pula menyifatkan sidang itu sebagai peluang untuk merobohkan tembok halangan dan membuka laluan baharu buat komuniti Pekak di seluruh negara.
Sidang kemuncak tersebut turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), serta Majlis Pembangunan Sosial Sarawak.
Maklumat lanjut mengenai program boleh diperoleh melalui laman web rasmi di www.mydawn.org/summit2025.