BINTULU, 8 Mei: Timbunan sampah sarap yang mencemari kawasan Pantai Ria, Tanjung Batu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah turut mencetus kebimbangan terhadap imej Bintulu sebagai bandar bersih dan mesra pelancong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menyifatkan situasi itu sebagai serius dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
“Saya percaya sebahagian besar sampah ini terkumpul akibat banjir yang berlaku sebelum ini dan keadaan sebegini sememangnya mencacatkan pemandangan.
“Saya telah memanggil agensi-agensi berkaitan pada pagi tadi untuk turun padang dan mencari penyelesaian kerana kita sedang berusaha menjadikan Bintulu sebuah bandar bersih, tapi situasi ini memberi imej yang sangat buruk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan tinjauan ke Pantai Ria Tanjung Batu di sini, hari ini.
Pada masa sama, Johnny turut khuatir bahawa pencemaran seumpama itu bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah berisiko menjejaskan reputasi negeri jika ditularkan di media sosial.
“Jika keadaan ini tular di Facebook atau mana-mana media sosial, ia boleh menjejaskan imej negeri dan negara. Oleh sebab itu, kita kini mengambil pendekatan lebih proaktif.
“Apabila kita dapati ada isu seperti ini, kita segera panggil agensi berkaitan untuk turun padang dan cari jalan penyelesaian. Ini perkara yang sangat penting,” katanya.
Beliau juga menekankan kesan jangka panjang terhadap kesihatan awam dan kehidupan marin akibat lambakan plastik dan sisa tidak terurus di kawasan pantai itu.
Menurutnya, Pejabat Daerah bersama agensi berkaitan akan menyelaras pelan tindakan susulan bagi menangani masalah pembuangan sampah secara lebih menyeluruh dan berkesan. – TVS