Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Mohamad Razi Sitam (enam kiri) bersama penerima Kenyalang Gold Card dan Kad OKU pada Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 di Selangau, hari ini. Foto TVS

RM98.8 juta bantuan disalurkan kepada lebih 55,000 penerima

SELANGAU, 8 Mei: Sebanyak RM98,816,400 bantuan telah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kepada 55,184 penerima di seluruh negeri dari Januari hingga April 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, bantuan tersebut merangkumi pelbagai skim.

Antaranya seperti Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Am, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Belia-Beliawanis.

“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah memberi sokongan moral untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya pada Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai program Sejambak Kasih Gawai, beliau berkata seramai 24,101 penerima di seluruh Sarawak akan menerima manfaat daripadanya.

Kuching mempunyai 2,896 penerima, Samarahan (993), Serian (2,176), Sri Aman (4,359), Betong (2,376), Sarikei (1,673), Sibu (2,871), Mukah (819), Kapit (2,878), Bintulu (1,362), Miri (1,134) dan Limbang (564).

Beliau berkata JKM telah menyediakan bantuan tunai perayaan sebanyak RM100 dan hamper bernilai RM80 kepada penerima yang layak sejak lebih 20 tahun lalu.

“Tujuan bantuan ini adalah untuk meringankan beban kewangan semasa membuat persiapan menyambut perayaan.

“Ia juga bagi memastikan golongan yang memerlukan turut dapat merasai suasana perayaan serta mengeratkan hubungan antara jabatan dan penerima bantuan,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa bantuan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Gunakanlah bantuan ini dengan bijak dan jadikannya dorongan untuk meningkatkan kualiti hidup. Biarlah ia menjadi peringatan tentang pentingnya rasa syukur dan sokongan sesama kita.

“Walau sesukar mana pun hidup, setiap usaha yang ikhlas pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, Razi menasihati orang ramai yang akan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak agar menitikberatkan keselamatan terutamanya di rumah panjang.

Ini kerana risiko berlaku kebakaran semasa musim perayaan lebih tinggi kerana kesibukan menyediakan hidangan dan aktiviti lain, mahupun sistem pendawaian elektrik yang lama mudah menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan