KUCHING 8 Mei: Projek berimpak tinggi bernilai RM161 juta bakal dilaksanakan di Pantai Belawai bagi mengatasi masalah hakisan pantai dan penyediaan pelbagai kemudahan awam.
Antara kemudahan yang bakal dibina termasuk pentas utama, pasar ria dan kawasan rekreasi keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut bertujuan menjadikan Pantai Belawai sebagai destinasi pelancongan utama di wilayah tengah Sarawak.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha penting kerajaan dalam memperkasakan potensi Pantai Belawai sebagai pusat tumpuan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Projek Pembangunan Pantai Belawai di sini, hari ini.
Datuk Len Talif turut menjelaskan projek tersebut mendapat manfaat tambahan menerusi jaringan laluan baharu Sarikei-Tanjung Manis yang menjadi akses utama pengunjung ke kawasan tersebut.
Pada masa sama, sesi libat urus turut diadakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak selaku agensi pelaksana projek.
Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan konsultan projek turut terlibat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.-TVS