SARATOK, 8 Mei: Regata Kalaka 2025 yang dijadualkan pada 4 hingga 6 Julai ditunda kepada tarikh baharu.
Pengerusi Penganjur Pesta Saratok dan Regata Kalaka 2025, Muhammad Dino Amid berkata, tarikh baharu penganjuran pesta tersebut pada 11 hingga 13 Julai.
“Jawatankuasa penganjur dengan agensi berkaitan bermesyuarat hari ini di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, antara perkara yang kita bincangkan adalah mengenai perubahan tarikh penganjuran Regata Kalaka 2025.
“Atas beberapa faktor, maka kita membuat keputusan meminda tarikh penganjuran Regata Kalaka 2025 edisi kali ini kepada 11 hingga 13 Julai,” katanya ketika ditemui selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bil. 2 Penganjuran Pesta Saratok dan Regata Kalaka 2025 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhannya sebanyak 22 pengisian program dirancang sepanjang Pesta Saratok 2025 berlangsung.
“Ia termasuk empat program baharu yang kita putuskan pada mesyuarat hari ini iaitu Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Memancing, Pertandingan Melastik (Slingshot) dan Kejohanan Basikal Bukit (Mountain Bike),” ujarnya.
Program lain yang turut dirancang termasuk Saratok Kitchen, pertandingan memasak, pertandingan dart, pertandingan petanque, kempen derma darah, pameran kesihatan, kejohanan bola keranjang, larian (Fun Ride), pameran pembangunan, perahu berhias, pangkah gasing, menyumpit, bertandak, bergendang, pertandingan ratu dan persembahan pentas hiburan daripada artis terkenal tempatan.
Majlis penangguhan Pesta Saratok dan Regata Kalaka 2025 dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.-TVS