LIMBANG, 8 Mei: Polis sedang mendapatkan bantuan daripada Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di London bagi mengesan dan menjejaki seorang pelajar sebuah kolej swasta di negeri ini selepas gagal dihubungi ahli keluarganya sejak Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata pelajar itu, Cathilyenn Santa Liong Siu Zhen, 24, dikesan berada di London dengan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) pada malam Sabtu lepas.
“Pihak polis sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada Kementerian Luar Negeri dan kedutaan Malaysia di London untuk mendapatkan maklumat bagi mengesan Cathilyenn,” katanya kepada media hari ini.
Parum bagaimanapun menjelaskan keberadaan seorang lagi rakan lelaki pelajar itu, Muhamad Izzat Asnawai, 21, belum dapat disahkan selepas hanya kelibat Cathilyenn dirakam melalui CCTV di KLIA.
Kes diklasifikasi sebagai orang hilang (keluar rumah) tanpa pengetahuan keluarga.
Sebelum ini ahli keluarga Cathilyenn dan Izzat melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anak mereka yang dipercayai ‘terbang’ ke luar negara sejak Sabtu lepas.
Mereka memohon bantuan pelbagai pihak demi keselamatan anaknya selain meminta anaknya pulang kepangkuan mereka dengan selamat.
Terdahulu kehilangan Izzat dan rakan perempuannya tular dalam media sosial selepas keluarga mereka memohon bantuan bagi mengesan kehilanga mereka.
Kedua-dua mereka kali terakhir dikesan berada di kawasan Horizon Suites ,Selangor Sabtu lepas dan tidak dapat dihubungi sejak 10 malam pada hari yang sama dan dua laporan polis telah dibuat terhadap kehilangan mereka. – TVS