KUALA LUMPUR, 8 Mei: Malaysia akan memperluas penggunaan teknologi tanpa pengorekan atau ‘trenchless’ sebagai strategi untuk memodenkan infrastruktur air negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penggantian kepada teknologi baharu yang lebih cekap ini bertujuan untuk menyepadukan penyelesaian air pintar.
Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, kaedah berimpak rendah ini sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).
“Dengan pendekatan tanpa pengorekan, kementerian dapat memodenkan infrastruktur air dengan lebih pantas, sambil meminimumkan gangguan atau kelewatan yang sering dikaitkan dengan kaedah konvensional,” katanya pada Majlis Perasmian Trenchless Asia 2025 di ibu negara, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa inisiatif terbabit juga akan memartabatkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam menerima pakai penyelesaian inovatif, sekaligus menangani cabaran air kritikal dan air sisa.
Jelasnya, sinergi yang baik antara dasar yang ditetapkan dan pengaplikasian teknologi adalah kunci kejayaan jangka panjang.
“Kita mesti menerima idea baharu, peralatan, dan kaedah yang lebih baik bagi meningkatkan kemudahan dan daya maju sistem ini.
“Penting juga untuk membangunkan dan berkongsi pengalaman tempatan yang sesuai dengan keadaan di Malaysia bagi memastikan kementerian dapat memaksimumkan potensi penuh penyelesaian ini,” katanya.
Fadillah turut menyeru badan-badan kerajaan, pihak berkepentingan industri, dan rakan kongsi antarabangsa bekerjasama membina ekosistem infrastruktur yang mampan. – TVS