MIRI, 8 Mei: Sarawak tidak boleh selamanya bergantung kepada sumber asli, sebaliknya memerlukan pelajar yang bijak dan berinovasi untuk mencipta masa depan yang mampan dan lestari.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Robot Antarabangsa Borneo 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya sebuah taman permainan inovasi dan jambatan yang menyambungkan bakat muda dari seluruh dunia.
“Kita perlukan generasi pelajar yang celik teknologi untuk bersaing di peringkat global, termasuk dalam bidang perubatan yang semakin bergantung kepada teknologi robotik,” katanya.
Dr Annuar turut memuji peranan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri sebagai sekolah perintis dalam bidang robotik di Sarawak dan mengiktiraf sumbangan besar sekolah itu dalam menganjurkan kejohanan berkenaan.
Kejohanan yang julung kali diadakan ini menghimpunkan peserta dari seluruh Malaysia serta negara luar seperti China, Macau, Taipei, Vietnam dan Thailand, sekali gus menonjolkan komitmen Sarawak dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat antarabangsa.
Beliau menegaskan, pendedahan awal terhadap teknologi dan robotik penting bagi melahirkan pelajar yang mampu meneroka inovasi baharu dan membina jaringan kerjasama global.
“Kita perlu tanamkan minat terhadap teknologi sejak di bangku sekolah agar pelajar kita bukan sahaja pengguna, tetapi juga pencipta teknologi,” tambahnya.
Kejohanan Robot Antarabangsa Borneo 2025 menjadi platform strategik dalam mencungkil bakat muda, memupuk kreativiti serta memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama merentas budaya dan sempadan negara.