Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mengambil tindakan, sambil menegaskan bahawa sekatan terhadap Gaza dan serangan ke atas orang awam mesti dihentikan serta-merta. Foto fail AFP

Malaysia kutuk rancangan Israel di Gaza sebagai pembersihan etnik

ByBernama

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk mewujudkan “kependudukan berterusan” di Gaza dengan mengusir secara paksa lebih dua juta penduduk Palestin  dari wilayah itu, menyifatkannya sebagai tindakan pembersihan etnik.

Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar menyatakan pelaksanaan kawalan ketenteraan ke atas bantuan kemanusiaan serta pengusiran sistematik terhadap orang awam merupakan pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan memaparkan sikap angkuh Israel yang terus-menerus mencabar peraturan serta norma undang-undang tersebut.

“Pengusiran secara paksa dan menggunakan kebuluran sebagai senjata adalah jenayah perang. Malaysia menolak sebarang alasan atau justifikasi yang menghalau rakyat Palestin dari Gaza. Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk pembersihan etnik,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan bahawa pencerobohan Israel yang kini melangkaui sempadan Palestin, termasuk serangan udara ke atas pelabuhan Hodeidah di Yaman, Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa serta beberapa lokasi lain di rantau itu, menunjukkan kekejaman berleluasa Israel yang mengancam nyawa orang awam serta kestabilan serantau.

“Tindakan sedemikian mengukuhkan lagi kedudukan Israel sebagai pelanggar bersiri undang-undang antarabangsa – kekebalan Israel mesti dihentikan dan semua pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mengambil tindakan, sambil menegaskan bahawa sekatan terhadap Gaza dan serangan ke atas orang awam mesti dihentikan serta-merta.

Malaysia mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan